Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Sambil memberi amaran keras tentang bahaya yang menimpa para ulama, Ayatullah al-Uzma Syeikh Makarim Syirazi menganggap pengadilan ke atas Hujjatul Islam Syeikh Nimr Baqir al-Nimr merupakan kosnpirasi baru pemerintah semenanjung tanah Arab.
Syirazi dalam pengajian Dars Kharij di Masjid A'zham, Qom pagi kelmarin menceritakan penangkapan beberapa tokoh dan penindasan terhadap masyarakat Syiah di negara ini dengan menyatakan, "Sejak akhir-akhir ini, kerajaan Saudi bertindak terlalu keras terhadap pengikut mazhab Syiah sambil menerapkan konspirasi atas nama memburu kumpulan perisik."
Mengenai hukuman mati dari pihak pendakwaraya untuk Syeikh Baqir, beliau berkata, "Ini adalah konspirasi terbaru sehingga para ulama dan pensyarah universiti di Saudi turut membuat pengumuman tentang konspirasi ini.
"Kerajaan Saudi sedang tertekan dengan gerakan pembaharuan dari dalam negara; ini disebabkan rakyatnya sudah mulai bangkit dan kesedaran mereka kian bertambah. Mereka terpaksa menuruti kedaulatan yang menjadi hak rakyat. Di luar Arab Saudi juga kita menyaksikan musim semi kebangkitan Islam telah bermula sementara pemerintah diktator satu persatu sedang mengalami kepupusan."
Tambah beliau lagi, "Saudi juga dianggap kalah dalam masalah berkaitan dengan Bahrain, Syria dan Yaman; atas dasar ini kerajaan Saudi cuba mengalihkan perhatian umum dengan memulakan permainan konspirasi ini. Atas nama penangkapan beberapa ahli kumpulan pengintip, mereka berusaha membohongi pemikiran rakyatnya, dan seluruh penyalahgunaan kuasa serta kepincangan pentadbiran mereka kaitkan dengan pengikut Syiah!."
Beliau turut memberi amaran keras kepada kerajaan Saudi dengan berkata, "Pemerintah Saudi hendaklah mengetahui bahawa pengikut mazhab Syiah di negara ini tidak bersendirian, percayalah, sebarang bahaya yang dihadapkan kepada mereka tidak akan menyebabkan Syiah di seluruh dunia, termasuk umat Islam yang bukan daripada kalangan Syiah akan berdiam diri.
"Pemerintah Al Saud tidak sepatutnya membayangkan individu ini dapat mereka hukum dalam mahkamah dan riwayat hidupnya dihabiskan sewenang-wenangnya; ini disebabkan pengadilan ini hanyalah sebuah pembohongan untuk mengalihkan pemikiran rakyat dari masalah dalam dan luar negara Saudi.
"Pemerintah Saudi hendaklah benar-benar faham bahawa Syeikh Nimr dan para tahanan yang bukan Wahhabi tidak akan berdiam diri sekiranya Syeikh Nimr dalam bahaya."
Mengenai isu layanan buruk kerajaan Saudi terhadap penziarah Iran, beliau mengulas, "Tindakan tidak berakhlak tidak hanya terjadi di Baqi' sahaja, bahkan mereka turut melakukan penghinaan terhadap warga Iran di dalam masjid Nabi (s.a.w) terutamanya ulama."
Sambil mengecam tindakan tersebut, Ayatullah Makarim Syirazi berkata, "Tidak ada sesiapapun yang bertanya kepada warga Saudi, apakah mereka ini bukan tetamu Allah?."
Menurut beliau, tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan undang-undang antarabangsa ini juga menyimpang dari seluruh prinsip kemanusiaan dan nilai Islam. Tambah beliau lagi, "Sudah banyak kali kami berkata, kamu sedang berkhayal. Apakah Madinah, Masjid Nabi, Masjidul Haram dan lain-lain lagi hanyalah milik peribadi sehingga kamu boleh melakukan apa sahaja yang diinginkan? Tempat-tempat suci ini kepunyaan seluruh umat Islam; dan kaum muslimin semuanya menganggap ziarah kubur adalah mustahab melainkan golongan Wahhabi."
Beliau turut bersetuju pembentukan jawatankuasa penjaga tempat-tempat suci ini daripada kalangan semua penganut agama Islam. Sudah tiba masanya OIC membentuk kumpulan yang bertanggung jawab menjaga tempat suci ini; alasannya memang sudah jelas, setiap sesuatu yang berkaitan dengan seluruh umat Islam hendaklah dijaga oleh mereka semua."
Ulama besar Syiah di Arab Saudi, Hujjatul Islam Syeikh Nimr Baqir al-Nimr baru-baru ini muncul dalam mahkamah atas tuduhan pengganas setelah 8 bulan ditangkap tanpa mengikut sebarang prosedur undang-undang.
Antara tuduhan yang dikenakan terhadap beliau ialah mencetuskan fitnah di Qatif, mengundang campurtangan asing dan mendukung konflik Bahrain. Sementara itu pihak pendakwaraya mengambil kesempatan untuk memohon hukuman mati terhadap beliau.